Terima Kasih! Thank you!

Terima Kasih! Thank you!

Wednesday, May 8, 2013

GST (Goods & Services Tax). APAKAH IA?



Apa itu GST ?

GST adalah cukai penggunaan yang dikenakan ke atas aktiviti nilai tambah pada setiap
peringkat rangkaian pengedaran semua barang dan perkhidmatan, termasuk yang diimport
melainkan yang dikecualikan oleh Kerajaan.

Kadar GST 

Kadar GST dicadangkan pada 4% iaitu lebih rendah dari kadar cukai jualan (5% dan 10%)
dan cukai perkhidmatan (5%) yang dikenakan pada masa sekarang.

Mengapa GST perlu dilaksanakan?

Pelaksanaan GST merupakan salah satu langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi
menyusun semula sistem percukaian negara supaya ia lebih berkesan, saksama, efisien
dan telus serta dapat mengelakkan berlakunya:-

Cukai terselindung

Kesan: cukai jualan yang dibayar di peringkat pengilangan telah menjadi kos kepada
pemborong dan peruncit, maka ianya telah diambilkira di dalam pengiraan margin
keuntungan.

Cukai bertindih 

Cukai bertindih (double taxation) berlaku di dalam dua keadaan iaitu:-

1. Cukai bertindih di bawah sistem yang sama, iaitu samada di bawah cukai jualan atau di
bawah cukai perkhidmatan.
Kesan: Pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai
perkhidmatan yang dikenakan merupakan sebahagian daripada kos menyediakan
perkhidmatan kepada pengguna.

2. Cukai bertindih di bawah sistem cukai yang berlainan iaitu barang berkaitan dikenakan
cukai jualan serta cukai perkhidmatan.
Kesan: Pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan
merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan
dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.

Apakah barang atau perkhidmatan yang dikenakan GST ?

Semua barang dan perkhidmatan dikenakan pada kadar standard iaitu 4% melainkan
barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai iaitu pembekalan berkadar sifar dan
pembekalan yang dikecualikan.

Apakah barang-barang yang tidak dikenakan GST?

Hampir semua barang makanan asas rakyat Malaysia seperti beras, minyak masak, sayursayuran, ikan, telur, daging, ayam, gula dan tepung tidak dikenakan GST (pembekalan
berkadar sifar). Rujuk Jadual 1.
Selain daripada itu, barang dan perkhidmatan yang dieksport juga tidak dikenakan GST
bagi menjadikan eksport negara lebih kompetetif di peringkat antarabangsa.

Apakah perkhidmatan yang tidak dikenakan GST?

Perkhidmatan asas yang digunakan rakyat Malaysia seperti pengangkutan awam,
pendidikan, kesihatan, perkhidmatan kewangan dan tol lebuhraya tidak dikenakan GST
(pembekalan yang dikecualikan). Selain itu, terdapat juga perkhidmatan terutamanya yang
dieksport tidak dikenakan cukai (pembekalan berkadar sifar). Rujuk Jadual 2 dan Jadual 3.

Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pengguna dalam membendung 
aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan?

Pengguna juga boleh memainkan peranan di dalam membendung aktiviti pengambilan
keuntungan berlebihan ini. Pengguna sepatutnya:-

 membuat perbandingan harga sebelum berbelanja;

 sentiasa merujuk kepada panduan harga pengguna;

 melaporkan apa-apa kenaikan harga yang tidak munasabah kepada pihak yang
berwajib atau persatuan pengguna; dan

 berbelanja secara berhemah.

Pandangan bahawa mereka yang tidak membayar cukai penggunaan pada 
masa sekarang terutamanya golongan miskin perlu membayar cukai 
penggunaan apabila GST dilaksanakan.

Pada masa sekarang, rakyat tanpa mengira kelas pendapatan sebenarnya telah membayar
cukai jualan dan cukai perkhidmatan ke atas perbelanjaan harian mereka.
Namun cukai yang dibayar ini terutamanya cukai jualan tidak kelihatan di dalam inbois atau
resit kerana ianya terselindung di dalam harga barangan.
Sebagai contoh bagi setiap RM100 yang dibelanjakan oleh golongan miskin, sebanyak
RM2.38 adalah untuk cukai. Tetapi apabila GST dilaksanakan dan dikenakan pada 4%,
beban cukai yang ditanggung akan menurun kepada RM2.17 sahaja. Ini merupakan
penjimatan di dalam perbelanjaan harian mereka.

Adakah GST akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik?

Kajian yang dijalankan mendapati Indeks Harga Pengguna (IHP) akan mengalami
penurunan sebanyak 0.10%. Berdasarkan kajian tersebut, GST yang dikenakan pada
kadar 4% akan dapat mengurangkan harga bagi lapan (8) komponen IHP iaitu:-

 pelbagai barangan dan perkhidmatan;

 restoran dan hotel;

 komunikasi;

 pengangkutan;

 hiasan, perkakasan & penyelenggaraan;

 perumahan, air, elektrik, gas & bahan api;

 pakaian dan kasut; dan

 minuman alkohol dan tembakau.





Sumber fakta adalah dari : http://www.kpkk.gov.my , * Sumber: Kementerian Kewangan (MOF) dan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM)





Friday, May 3, 2013

SAMAN JPJ dan HAK ANDA




Saman Dan Hak Anda

Perlembagaan persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara yang menjamin hak setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan semua fahaman politik.


Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan.

Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik
kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau.

Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 09/3/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu.

Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah.

Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak.

Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A.

Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju.

Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran.

Denda hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda… TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menghalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI.

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.




Jadi, selepas ini, kami harap rakyat akan buka mata untuk mengambil tahu tentang apa hak anda dan bagaimana anda boleh menuntut hak anda, lebih-lebih lagi sekiranya anda disabitkan dengan saman ekor.Apa pendapat anda mengenai hak anda ini?

Sumber artikel oleh:

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)